Thursday, August 27, 2009

Kelebihan Ramadan dan orang yang berpuasa


DALAM bulan Ramadan, diam orang berpuasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan.

RAMADAN datang lagi. Umat Islam di seluruh dunia kini begitu sibuk beribadah, termasuk menggandakan ibadat pada bulan yang mulia ini. Ramadan amat sinonim dengan salah satu daripada Rukun Islam iaitu berpuasa.

Ibadat yang mempunyai seribu satu macam rahsia dan hikmah. Begitu juga ia membawa kepada banyak pahala dan keuntungan bagi mereka yang berpuasa serta melakukan ketaatan pada bulan Ramadan.

Dibincangkan di sini fadilat Ramadan, puasa dan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa:

Pertama: Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah sabda Nabi SAW: "Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka: Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi, malaikat mengampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hambaku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam."

Hadis ini menunjukkan kemuliaan Ramadan dan keistimewaan mulut orang yang berpuasa di sisi Allah SWT di samping syaitan yang dibelenggu kerana kelebihan Ramadan.

Kedua: Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadis daripada Sahal bin Sa'd sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan al-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya.

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada al-Zain bin al-Munir dalam al-Fath al-Bari : Sesungguhnya dikatakan pada syurga, tidak dikatakan bagi syurga untuk menggambarkan bahawa pintu itu sendiri sebahagian daripada kenikmatan dan kerehatan yang membawa lebihan rasa rindu kepadanya.

Ketiga: Mengikut riwayat al-Nasaie sama seperti di atas kecuali ditambah sabda Nabi SAW: "Sesiapa yang masuk di dalamnya nescaya dapat meminum dan siapa yang minum nescaya tidak dahaga selama-lamanya."

Hadis ini menunjukkan kelebihan minuman dalam syurga yang menghilangkan dahaga selama-lamanya.

Keempat: Mengikut riwayat Imam Ahmad dan al-Nasaie daripada Abi Hurairah r.a sabda Rasulullah SAW: "Puasa merupakan perisai." Dan daripada Uthman bin Abi al-As, "Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat."

Ini kerana, puasa mempunyai kelebihan yang tersendiri dan pada ghalibnya (kebiasaannya), mereka yang berpuasa akan memelihara nilai puasanya.

Kelima: Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Uthman bin Abi al-As, "Puasa merupakan perisai daripada azab Allah.

Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa yang melindungi tuannya daripada disambar api neraka.

Keenam: Imam Ahmad, Muslim dan al-Nasaie meriwayatkan daripada Abi Hurairah dan Abi Sa'id sesungguhnya Allah berfirman: "Sesungguhnya puasa bagi-Ku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.

Hadis qudsi ini menggambarkan kemuliaan orang yang berpuasa semata-mata kerana Allah SWT yang sudah pasti mendapat pembalasan daripadanya.

Ketujuh: Ibn Majah dan al-Hakim meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa yang tidak ditolak".

Hadis ini menunjukkan kelebihan orang yang berpuasa dengan mustajabnya doa.

Kelapan: Al-Dailami meriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: "Diam orang puasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan".

Hadis ini menunjukkan terlalu banyak kelebihan orang yang berpuasa, sekalipun mereka diam dan tidur.

Kesembilan: Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn Jabir, Ahmad, al-Tabarani dan al- Baihaqi daripada Abi Umamah bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya bagi Allah ketika berbuka puasa mempunyai mereka yang dibebaskan daripada neraka yang demikian itu pada setiap malam."

Hadis ini menunjukkan keampunan Allah SWT kepada yang berpuasa.

Kesepuluh: Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: "Puasa merupakan separuh kesabaran dan atas tiap sesuatu mempunyai zakat dan zakat bagi tubuh badan adalah puasa."

Hadis ini menggambarkan betapa sabarnya orang yang berpuasa.

Kesebelas: Imam Ahmad, al-Turmidzi dan al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ummi Imarah: "Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan sentiasalah malaikat berselawat ke atasnya sehingga selesai makanannya".

Hadis ini dengan jelas menunjukkan betapa malaikat berdoa dan berselawat kepada yang berpuasa.

Sebenarnya banyak lagi kelebihan puasa dan Ramadan seperti mendapat syafaat dan dijauhkan daripada neraka.

Justeru, marilah sama-sama kita mengambil kesempatan dengan kunjungan Ramadan al-Mubarak dengan berpuasa dan beramal. Selamat berpuasa dan semoga diterima Allah.


sumber dari Utusan Online


Saturday, August 22, 2009

Kelebihan Solat Tarawih


1. Kelebihan Solat Tarawih Malam Pertama

Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.

2. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kedua

Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.

3. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketiga

Para malaikat di bawah ‘Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.

4. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempat

Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

5. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelima

Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.

6. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenam

Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.

7. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuh

Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.

8. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapan

Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.

9. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilan

Allah S.W.T akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.

10. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesepuluh

Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.

11. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesebelas

Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.

12. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduabelas

Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.

13. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigabelas

Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.

14. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempatbelas

Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.

15. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelimabelas

Semua malaikat yang memikul ‘Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

16. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenambelas

Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

17. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuhbelas

Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

18. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapanbelas

Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).

19. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilanbelas

Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

20. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh

Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.

21. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh satu

Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.

22. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh dua

Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.

23. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tiga

Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.

24. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh empat

Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

25. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lima

Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.

26. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh enam

Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

27. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tujuh

Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.

28. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lapan

Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.

29. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh sembilan

Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.

30. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigapuluh

Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar.


Monday, August 17, 2009

Perginya seorang pejuang nasyid

SETIAP pagi, seperti biasa sebelum melangkah keluar dari rumah untuk ke pejabat, Mohamad Asri Ibrahim dibekalkan erat pelukan isteri yang mengiringinya hingga ke pintu sambil mengucup tangan sebagai doa agar perjalanan suami selamat pergi dan kembali.

Namun pagi 13 Ogos lalu, entah kenapa Mohd. Asri atau lebih mesra disapa Ustaz Asri, ayah kepada enam orang anak itu begitu tergesa-gesa untuk pergi, hingga tidak berpeluang isteri tercinta Haliza Shahadan, 39, memeluk erat suami seperti biasa.

Walaupun tindakan Ustaz Asri berlainan daripada biasa, namun Haliza atau lebih mesra dipanggil Noor Jannah tidak menyangka apa. Cuma yang terfikir, suami tersayang tergesa-gesa kerana ada tugas sudah menanti pada 10.30 pagi itu.

Pagi itu, Ustaz Asri dan Rabbani dijadualkan menyanyikan lagu tema Syahadah musim kelima sebuah rancangan terbitan RTM yang akan disiarkan sepanjang bulan Ramadan, di Auditorium P.Ramlee, Angkasapuri.

Namun suratan takdir telah menentukan. Kelainan sikap Ustaz Asri pagi itu rupa-rupanya petanda beliau akan pergi buat selama-lamanya meninggalkan isteri, anak-anak dan dunia yang fana ini.

Tidak siapa menduga, ketika Noor Jannah sibuk di rumah mengurus anak-anak, ahli anggota Rabbani berusaha membantu memulihkan Ustaz Asri yang rebah tiba-tiba ketika mahu memulakan latihan menyanyikan lagu tema tersebut.

Dan... dalam suasana tenang dan sepi, ketika syahadah dibisikkan di telinganya, Ustaz Asri yang rebah dan pucat wajahnya, longlai di pangkuan sahabat-sahabatnya.

Meski hati mereka digayut rasa sedih, namun tidak mahu mengaku kalah. Dengan semangat setia kawan dan dipanjatkan beribu doa, dengan menaiki van milik mereka, Ustaz Asri dibawa ke Pusat Perubatan Pantai.

Namun takdir menentukan segala-galanya. Allah lebih menyayanginya dan tepat pada pukul 11.45 pagi, doktor mengesahkan Ustaz Asri yang dikenali sebagai pejuang lagu-lagu nasyid meninggal dunia kerana sakit jantung.

Dilahirkan pada 3 Ogos 1969, pemergian Allahyarham amat mengejutkan ramai pihak terutama kepada mereka yang meminati koleksi lagu-lagu dakwah nyanyiannya bersama kumpulan Rabbani.

Selama 12 tahun memperjuangkan irama nasyid, kini, segalanya hanya tinggal kenangan dan akan terus terpahat di sanubari setiap daripada kita semua.

Dan, sememangnya, kita semua perlu menerima takdir dan hakikat bahawa Ustaz Asri kini sudah tiada lagi untuk mengingatkan semua dengan lagu-lagu berbentuk dakwah dan nasihat.

Semuanya sudah termaktub sebagai mana janji Allah SWT dalam al-Quran bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai mati.

Rebah ketika menjalani sesi latihan sempena pelancaran program Syahadah, rintihan dan tangis sendu mengiringi saat jenazah Allahyarham dimandi, dikapan dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

Selain seorang balu, Haliza Shahadan@Noor Jannah, Allahyarham meninggalkan enam anak iaitu Mohd. Nasimudin, 15; Mohd. Fathi, 14; Nur Afikah, 12; Mohd. Ilham, 10; Sufiyah Munawarh, 6 dan Hamdi Rabbani, 4.

Dua hari sebelum itu, penulis berkesempatan menemui Allahyarham ketika majlis menandatangani perjanjian persembahan Rabbani di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya sempena Ramadan tahun ini.

Ia merupakan kerjasama ke-18 tahun berturut-turut Rabbani bersama hotel itu.

Allahyarham yang sentiasa ceria pada majlis itu berkata : "Kadang-kadang terdetik di hati saya, jika Singgahsana tidak mengundang kami pada tahun ini, tidak mengapalah.

"Tetapi, jika tidak ada tawaran daripada Singgahsana, ibadah kami sempena Ramadan tahun ini bagaikan tidak lengkap kerana ini merupakan salah satu cabang ibadah Rabbani."

Dalam pertemuan itu, penulis sempat mengajukan soalan dan bertanyakan pendapat Allahyarham mengenai Rabbani yang boleh dilabel sebagai kumpulan nasyid nombor satu negara berdasarkan undangan menyanyi di pentas yang tidak pernah lekang.

Allahyarham dengan rendah diri berkata : "Alhamdulillah, Rabbani masih aktif. Bukan hanya konsert, Rabbani sering kali bersama dengan masyarakat. Komitmen setiap ahli kumpulan juga menjadi penentu kepada kejayaan Rabbani.

"Menjaga hati rakan-rakan juga penting. Contohnya, jika saya seorang dipanggil dalam sesebuah majlis, saya akan katakan tidak boleh kerana semua ahli Rabbani perlu diundang sama. Kita perlu utamakan rakan-rakan."

Begitulah setia dan kasihnya Allahyarham terhadap ahli anggota Rabbani yang dianggap bagaikan saudara sendiri.

Bercakap mengenai Allahyarham, dengan berita pemergiannya itu, bait-bait lagu dakwah dan zikir munajat yang sering bermain di bibirnya tatkala aktif bersama Rabbani dan juga Nada Murni mungkin sukar untuk dilupakan.

Perginya Allahyarham merupakan satu kehilangan yang besar kepada lapangan nasyid tanah air.

Dalam waktu ini juga, pastinya kita akan mengingati lagu berjudul Pergi Tak Kembali, ciptaan KRU dengan lirik oleh Allahyarham yang pernah dipopularkan Rabbani sekitar 2000.

Lagu itu cukup menginsafkan dan mengingatkan kita semua betapa kematian itu adalah sesuatu yang benar dan pasti berlaku.

Hayatilah lirik karya lagu tersebut :

Setiap insan pasti merasa,

Saat perpisahan terakhir,

Dunia yang fana akan ditinggalkan,

Hanya amalan yang dibawa.

Terdengar sayup surah dibaca,

Sayunya alunan suara,

Cemas di dada...lemah tak bermaya,

Terbuka hijab di depan mata.

Selamat tinggal pada semua,

Berpisah kita selamanya,

Kita tak sama nasib di sana,

Baikkah atau sebaliknya.

Amalan dan takwa jadi bekalan,

Sejahtera bahagia pulang...ke sana.

Sekujur badan berselimut putih,

Rebah bersemadi sendiri,

Mengharap kasih anak dan isteri,

Apa mungkin pahala dikirim.

Terbaring sempit seluas pusara,

Soal-bicara terus bermula,

Sesal dan insaf tak berguna lagi,

Hancurlah jasad dimamah bumi.

Berpisah sudah segalanya,

Yang tinggal hanyalah kenangan,

Diiring doa dan air mata,

Yang pergi takkan kembali lagi.


Monday, August 10, 2009

99 Langkah Menuju Kesempurnaan Iman

Buat sahabat-sahabat dan saudara-saudara teman sesama Islam. Di bawah ini di catitkan 99 langkah menuju kesempurnaan iman untuk renungan kita bersama :-

01. Bersyukurlah sikit apabila mendapat nikmat;
02. Sabar apabila mendapat kesulitan;
03. Tawakkal apabila mempunyai rencana atau rancangan;
04. Ikhlas dalam segala amal perbuatan;
05. Jangan membiarkan hati larut dalam kesedihan;
06. Jangan menyesal atas sesuatu kegagalan;
07. Jangan putus asa dalam menghadapi kegagalan;
08. Jangan usil dengan kekayaan orang;
09. Jangan hasad dan irihati atas kejayaan orang;
10. Jangan sombong kalau memperoleh kejayaan;
11. Jangan tamak kepada harta;
12. Jangan terlalu mengkehendaki akan sesuatu kedudukan;
13. Jangan hancur kerana kezaliman;
14. Jangan goyah kerana fitnah;
15. Jangan berkeinginan terlalu tinggi yang melebihi kemampuan diri;
16. Jangan campuri harta dengan harta yang haram;
17. Jangan sakiti ayah dan ibu;
18. Jangan usir orang yang meminta-minta;
19. Jangan sakiti anak yatim;
20. Jauhkan diri dari dosa-dosa yang besar;
21. Jangan membiasakan diri melakukan dosa-dosa yang kecil;
22. Banyak berkunjung ke rumah Allah (Masjid);
23. Lakukan solat dengan ikhlas dan khusuk;
24. Lakukan solat fardhu di awal waktu, berjemaah di Masjid;
25. Biasakan solat malam;
26. Perbanyakkan zikir dan doa kepada Allah;
27. Lakukan puasa wajib dan puasa sunat;
28. Sayangi dan santuni fakir miskin;
29. Jangan ada rasa takut kecuali hanya kepada Allah;
30. Jangan marah berlebih-lebihan;
31. Cintailah seseorang dengan tidak berlebih-lebihan;
32. Bersatulah kerana Allah dan berpisahlah kerana Allah;
33. Berlatihlah untuk banyak berfikir;
34. Penuhi janji apabila telah diikrarkan dan mintalah maaf apabila kerana sesuatu sebab
tidak dapat dipenuhi;
35. Jangan mempunyai musuh, kecuali dengan iblis dan syaitan;
36. Jangan percaya ramalan manusia;
37. Jangan terlampau takut miskin;
38. Hormatilah setiap orang;
39. Jangan terlampau takut kepada manusia;
40. Jangan sombong, takabur dan besar kepala;
41. Berlakulah adil dalam segala urusan;
42. Biasakan istighfar dan taubat kepada Allah;
43. Bersihkan rumah dari patung-patung berhala;
44. Hiasi rumah dengan bacaan Al-Quran;
45. Perbanyakkan silaturrahim;
46. Tutup aurat sesuai dengan petunjuk Islam;
47. Bicaralah secukupnya;
48. Beristeri atau bersuami kalau sudah siap segalanya;
49. Hargai waktu, disiplin waktu dan menafaatkan waktu;
50. Biasakan hidup bersih, tertib dan teratur;
51. jauhkan diri dari penyakit-penyakit bathin;
52. Sediakan waktu untuk santai dengan keluarga;
53. Makanlah secukupnya, tidak kekurangan dan tidak berlebihan;
54. Hormatilah kepada guru dan ulama;
55. Sering-sering bersalawat kepada Nabi Muhammad S.A.W;
56. Cintai keluarga Nabi saw;
57. Jangan terlalu banyak hutang;
58. Jangan terlampau mudah berjanji;
59. Selalu ingat akan saat kematian dan sedar bahawa kehidupan dunia adalah kehidupan
sementara;
60. Jauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang tidak bermunafaat seperti bercakap yang
tidak berguna;
61. Bergaullah dengan orang-orang soleh;
62. Sering bangun dipenghujung malam, berdoa dan beristighfar;
63. Lakukan ibadah Haji dan Umrah apabila telah mampu;
64. Maafkan orang lain yang telah berbuat salah kepada kita;
65. Jangan demdam dan jangan ada keinginan membalas kejahatan dengan kejahatan;
66. Jangan membenci seseorang kerana fahaman dan pendiriannya;
67. Jangan benci kepada orang yang membenci kita;
68. Berlatih untuk berterus-terang dalam menentukan sesuatu pilihan;
69. Ringankan beban orang lain dan tolonglah mereka yang mendapat kesulitan;
70. Jangan melukai hati orang lain;
71. Jangan membiasakan berkata dusta;
72. Berlakulah adil, walaupun kita sendiri akan mendapat kerugian;
73. Jagalah amanah dengan penuh tanggungjawab;
74. Laksanakan segala tugas dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan;
75. Hormati orang lain yang lebih tua daripada kita;
76. Jangan membuka aib orang lain;
77. Lihatlah orang yang lebih miskin daripada kita, lihat pula orang yang lebih
berjaya daripada kita;
78. Ambillah pelajaran dan pengalaman dari orang yang arif lagi bijaksana;
79. Sediakan waktu utnuk merenung apa-apa yang sudah dilakukan;
80. Jangan sedih kerana miskin dan jangan sombong kerana kaya;
81. Jadilah manusia yang selalu bermunafaat untuk agama, bangsa dan negara;
82. Kenali kekurangan diri dan kenali pula kelebihan orang lain;
83. Jangan membuat orang lain menderita dan sengsara;
84. Berkatalah yang baik-baik atau tidak berkata apa-apa;
85. Hargailah pemberian dan kejayaan orang;
86. Jangan habiskan waktu untuk sekadar hiburan dan kesenangan;
87. Akrablah dengan setiap orang, walaupun yang bersangkutan tidak menyenangkan;
88. Sediakan waktu untuk berolahraga yang sesuai dengan norma2 agama dan kemampuan
diri;
89. Jangan membuat sesuatu yang menyebabkan jasmani atau fikiran kita menjadi terganggu;
90. Ikutilah nasihat orang-orang yang arif lagi bijaksana;
91. Pandai-pandailah untuk melupakan kesalahan orang dan pandai-pandailah untuk
melupakan jasa kita;
92. Jangan membuat sesuatu yang menyebabkan orang lain terganggu dan jangan berkata
sesuatu yang dapat menyebabkan orang lain terhina;
93. Jangan cepat percaya kepada berita buruk yang menyangkut teman kita sebelum
dipastikan kebenarannya;
94. Jangan menunda-nunda pelaksanaan tugas dan kewajipan;
95. Sambutlah huluran tangan setiap orang (pastikan aurat) dengan penuh keakraban dan
keramahan dan tidak berlebihan;
96. Jangan memaksa diri untuk melakukan sesuatu yang diluar kemampuan diri;
97. Waspadalah akan setiap ujian, cubaan, godaan dan tentangan. Jangan lari dari
kenyataan kehidupan;
98. Yakinlah bahawa setiap kebajikan akan melahirkan kebaikan dan setiap kejahatan
akan melahirkan kerosakan;
99. Jangan berjaya di atas penderitaan orang dan jangan kaya dengan memiskinkan orang.

Bersama kita hayati, renungi serta praktikkan pada setiap amal dan ibadah kita. Semoga kita senantiasa berada di dalam pemeliharaanNya. Insyallah.

Friday, August 7, 2009

7 Wasiat Raja Melayu


Wasiat Raja Melayu
  • Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
  • Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
  • Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejiman Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.
  • Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.
  • Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.
  • Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.
  • Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Wednesday, August 5, 2009

MAJLIS KESYUKURAN PEKIDA BANDAR SULTAN SULEIMAN 2009


Bertempat di perkarangan Norizan Car Wash, PEKIDA BSS telah menganjurkan satu Majlis Kesyukuran dan Meraikan Anak-Anak Yatim serta Ibu-Ibu Tunggal pada 2 Ogos 2009. Dalam majlis tersebut PEKIDA BSS telah menyumbangkan beras, kain serta wang saku kepada anak-anak yatim dan ibu-ibu tunggal ini dimana diharap sumbangan ini dapat meringankan bebanan mereka.

Seramai 100 anak yatim dan 70 ibu-ibu tunggal telah hadir ke majlis tersebut. Majlis ini merupakan program pertama anjuran PEKIDA BSS bagi tahun ini. Insyaallah, beberapa siri program dan aktiviti akan dilaksanakan selepas ini demi kebaikan ahli serta masyarakat di Bandar Sultan Suleiman khususnya.


FOTO-FOTO MAJLIS KESYUKURAN DAN MERAIKAN ANAK-ANAK YATIM SERTA IBU TUNGGAL PEKIDA BANDAR SULTAN SULEIMAN PADA 2/8/2009



AJK Induk & AJK Pelaksana Program



Ibu tunggal menerima sumbangan dari isteri Ayahanda Norizan





Sumbangan wang saku kepada anak-anak yatim yang disampaikan oleh Ayahanda Norizan


Ibu-ibu tunggal menikmati jamuan yang disediakan


Sebahagian orangramai yang hadir ke Majlis Kesyukuran PEKIDA BSS